Tuesday, July 20, 2010

Harian Metro Write Up - Wednesday, July 14 2010















HARIAN METRO

2010/07/14

Zizi, Halim Redah Awan Biru

Oleh Hartati Hassan Basri (hartati@hmetro.com.my)

MENYELAMI jiwa juruterbang dan mengetahui cara untuk mengendalikan kapal terbang mungkin salah satu impian anda.

Apabila peluang itu diberi kepada anda, tentunya ia tidak akan dilepaskan begitu saja.


Begitu jugalah yang dialami dua penyampai Suria FM, Halim Othman dan Zizi apabila diberi peluang mengendalikan kapal terbang dan lebih bermakna, ia dilakukan bersama pendengar bertuah mereka melalui peraduan diadakan menerusi program Breakfast@Suria setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.


Kata Zizi, dia sebenarnya takut ketinggian, tetapi dapat mengatasi ketakutan itu apabila mendapat peluang mengemudi kapal terbang ringan.


"Bukan mudah mendapat peluang ini menyebabkan saya sangat teruja hingga lupa masalah yang saya alami. Peluang belajar mengemudi kapal terbang ringan adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan apatah lagi berpeluang melakukannya bersama Halim.


"Peluang keemasan ini juga turut diberikan kepada pendengar bertuah Suria FM, Mohd Rizal Mohamad. Untuk mengendalikan kapal terbang memerlukan keyakinan diri yang tinggi serta berani. "Bukan mudah untuk memandu kapal terbang walaupun ia sekadar kapal terbang jenis ringan kerana ia sangat mencabar kewibawaan seseorang. Itulah yang kami rasakan," katanya.


Sesi pembelajaran ini dikendalikan Kapten Dylan Morvryn Bhaskaran dari F.A.S Udara Flying Club di F.A.S Flying School di Subang, bermula dari jam 8.30 pagi hingga 11 pagi, baru-baru ini.


Mohd Rizal yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, merupakan seorang pemenang bertuah yang dipilih untuk belajar mengendali kapal terbang hanya dengan menghantar SMS untuk menyertai peraduan yang diadakan sempena Hari Bapa yang diraikan pada 20 Jun lalu.


Ternyata dia tuahnya apabila dipilih untuk menjalani sesi itu dan tidak melepaskan peluang keemasan berkenaan walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh.


"Saya bertolak pada malam Jumaat dan pulang semula ke Kelantan sejurus selepas sesi pembelajaran tamat. Saya langsung tidak menyesal berjalan jauh dan saya rasa berbaloi untuk saya datang kerana tidak semua orang berpeluang mengendali kapal terbang. Ianya satu pengalaman yang sangat menyeronokkan," katanya.


Halim juga tidak ketinggalan meluahkan keterujaannya. Katanya, sesi pembelajaran berkenaan bukan hanya sesi untuk belajar mengendali kapal terbang semata-mata, tetapi dapat memberi peluang kepada penyampai radio bermesra dengan pendengar mereka. "Ia juga peluang untuk Suria FM memberi penghargaan kepada pendengar. Peluang sebegini jarang diadakan mana-mana stesen radio atau televisyen. "Diharapkan acara seperti ini dapat diadakan lagi untuk masa depan," katanya.


No comments:

Post a Comment